Salam Benua - dan monolog sendiri

بسم الله والسلام على رسول الله

I

MEREKA memisahkan kita
pasport visa wilayah segala tempoh nama
mereka merompak kita dengan undang-undangnya
peluru dikirimkan dalam bungkusan dollarnya
kita dipaksa memilih salah satu
dan kita mesti memilihnya
tiada jalan lain

II

Telah saudara pilih senapang dan peluru
banyak pemimpin memilih dollarnya
untuk ini saudara membasahi baju
rumput-merah sungai-merah
tangis anak-anak
darah rakyat tertindas

III

Saudara memerah kaktus melumat batu
menjadikannya minuman makanan
gadis-gadis bekerja debu pasir dandanannya
anak-anak kecil menyandang senapang
saudara menghitamkan langit menyelubungi
saluran minyak
setengahnya menyanyi di penjara
untuk pembebasan Palestin

IV

Kami bertatih di sawah semakin kering
petani-petani mulai menebang hutan dara
permulaan kecil pada ketenangan segumpul awam
ketenangan yang di belakangnya memangkas kami
yang sedikit ini sedang belajar
dari tiap pengalaman saudara
dan pengalaman sendiri
kami memampatkan gerhana bulan mei
pada tujuan tempat
nusantara ini

V

Salam
tanpa visa
pasport
golf
warna
kemanusiaan rakyat
seluruh benua

Usman Awang
1970

Lama dah aku dengar puisi ni. Masa zaman muda2 dulu. Masa terasa dekatnya diri dengan tuhan. Masa hati mudah berbicara bahasa puisi. Sekarang, dah malas dah. Fakta mengatasi segalanya. Compact and straightforward.

Dulu kat IKIM.fm selalu dengar puisi ni. Dengan muzik latar yang amat meruntun jiwa. Sesekali berselang dengan alunan bacaan Kalamullah. Kadangkala terlena dalam bisikan zikrullah @ 12.03am. Sekarang, dah tak layan IKIM dah. Hati dah beku. Hardened.

Sampai ke satu tahap, air mata terasa murah dan berbaloi ditumpahkan, dek kerana terasa kebersamaan dengan saudara2 di Palestin. Sakit mereka ibarat pedihnya luka sendiri. Rintihan mereka terasa dekat, bagaikan hanya diseberang sempadan. Tapi tu cerita dulu. Sekarang...

Sebenarnya, sekarang aku tercari-cari mana hilangnya aku yang dulu. Yang mudah berbicara bahasa puisi. Yang mudah diruntun hatinya. Yang tidak berkira dengan air mata. Yang tidak seperti sekarang. Di mana dia agaknya? Di mana aku?

Analogi ikan dan ular

بسم الله والسلام على رسول الله

Anda adalah salah seorang penduduk di sebuah kampung di kawasan pergunungan nan indah. Seumur hidup anda, tidak pernah walau sekali pun anda mahupun rakan-rakan anda keluar dari pergunungan itu. Keluarga anda, bahkan seluruh penduduk kampung menyara hidup masing-masing dengan hasil ternakan, dan sedikit rezeki dari apa yang ditumbuhkan Allah di atas muka bumi.

Suatu hari, kembalilah seorang anak jati kampung anda yang entah ke mana mengembara selama ini kepangkuan keluarga, membawa perkhabaran yang amat pelik kedengarannya.

"Di luar sana ada haiwan yang berjalan dengan perut!" katanya.

Semua orang diam. Anda tercangak-cangak, sebelum akhirnya ketawa terbahak-bahak.

"Kau ni mereng ke sengal? Mana ada binatang yang berjalan dengan perut? Cuba kau tengok lembu tu, tengok ayam kat belakang rumah kau. Boleh dia berjalan dengan perut? Kau sendiri, cuba berjalan dengan perut. Impossible."

Dia terdiam, dan anda bersama orang lain blah meninggalkannya (setelah puas mengutuk dia gila). Esoknya dia keluar mengembara lagi. Kecik hati kot dengan orang kampung.

Berbulan lepas tu dia kembali lagi. Kali ni dengan perkhabaran yang lebih aneh, ada binatang boleh hidup dalam air!

Sekali lagi anda dan orang kampung ketawa. Lebih kuat. Sebab ceritanya lagi pelik.

"Aku pening tengok kau ni. Cuba kau sendiri masuk dalam air. Aku nak tengok hidup tak hidup?!" Galaknya anda mengutuk. Prang preng prang preng....sebelum akhirnya anda meninggalkan dia dengan keluarganya...blah bersama mereka yang lain.

Dia diam. Dalam hatinya merasa dukacita. Tanpa perlu membawa sendiri binatang itu (kerana keterbatasan pengetahuan untuk menangkapnya, juga waktu yang tak mengizinkan), bagaimanakah caranya nak meyakinkan orang kampung yang kat luar sana, memang wujud ular dan ikan??!

Manusia itu menjadi musuh atas apa yang tidak diketahuinya.

Begitulah kita yang terbatas pengetahuannya. Adakah kita pernah terasa ragu akan kewujudan alam ghaib, hanya kerana kita tak pernah melihatnya? Pernahkah kita terasa syak atau waham mengenai apa yang disampaikan oleh Rasulullah, hanya kerana kita tak pernah menyaksikannya?

FIKIRLAH APA AKHIRNYA, SEBELUM ENGKAU MEMULAINYA...